Harga barang bakal dinaikkan berikutan kenaikan gaji gakitangan awam dalam bajet 2012. Orang ramai dan pengguna di negara ini perlu bersedia dengan kemungkinan berlaku peningkatan harga barangan harian secara mendadak dalam masa terdekat.
Bagi menghadapi kemungkinan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengambil langkah mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Harga bagi mengekang kenaikan harga oleh sebilangan peniaga yang tidak bertanggungjawab. Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, pihaknya baru-baru ini menerima satu sistem pesanan ringkas (sms) dari KPDNKK yang memaklumkan tentang rancangan kementerian itu.
“Saya ada menerima sms dari pihak KPDNKK baru-baru ini mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Harga itu dan PPIM komited bekerjasama dengan Jawatankuasa tersebut.
“PPIM juga sudah mewar-warkan kepada semua aktivis-aktivis kami di seluruh negara agar melipat gandakan pemantauan di tempat masing-masing dan melaporkan sekiranya ada peniaga yang berani menaikkan harga sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.my di sini hari ini.
Kenaikan harga barangan pengguna adalah satu isu normal setiap kali kerajaan mengumumkan pemberian bonus atau sebarang bentuk penyelarasan gaji serta elaun di kalangan kakitangan awam.
Di Pahang umpamanya hari ini dilaporkan, peniaga dikesan menaikkan harga daging ayam sehingga RM10 sekilogram.
Tambah Tunku Azwil, sms tersebut yang dihantar oleh Pengarah Bahagian Dasar dan Standard Kepenggunaan, Norashiken Ishak meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan pengguna untuk memberikan kerjasama dengan Jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu.
Tunku Azwil memaklumkan bahawa jawatankuasa yang akan dianggotai dari wakil kementerian terbabit, NGO-NGO dan persatuan-persatuan pengguna itu dijangka akan melakukan pemantauan harga di semua lokasi-lokasi strategik yang dikenal pasti sama ada di dalam atau di luar bandar.
sumber : ScaniaZ
No comments:
Post a Comment