Sunday, 9 October 2011

Mandi Malam bawa mudarat?



Dalam masyarakat Melayu, terdapat banyak kepercayaan termasuk usah mandi malam, usah mandi hujan dan usah tidur di atas simen. Mari kita cuba mencari kebenaran.

Ramai daripada kita yang kerap pulang ke rumah pada waktu malam seperti burung hantu atau kelawar yang terang matanya sebaik saja tirai malam berlabuh.
Tidak kiralah sama ada kita pulang dari tempat kerja, dari membeli-belah, jumpa kawan atau saudara, pulang ke rumah pada waktu malam memang menjadi perkara biasa.
Mentelah pula, sekitaran di bandar raya memang terang-benderang. Justeru, pulang ke rumah sehingga lewat malam tetap tidak membimbangkan.
Dan apabila pulang ke rumah, takkanlah kita nak terus duduk dekat-dekat dengan anggota keluarga dan makan bersama, tonton televisyen atau lebih teruk lagi, terus melompat ke katil dan tidur sebelum mandi?
Tentulah badan berbau busuk, hangat, melekit dan kotor kerana sehari suntuk dihembusi habuk-habuk di sekitaran.
Tetapi, ada orang-orang tua kita yang berkata mandi malam tidak baik untuk kesihatan. "Nanti kau senang dapat sakit paru-paru. Tulang pun cepat reput," demikian antara 'amaran' mereka.
Inilah antara kepercayaan atau 'mitos' yang biasa kita dengar dalam masyarakat Melayu berhubung soal mandi malam. Terdapat beberapa lagi kepercayaan sedemikian.
Ia termasuk, jangan minum air batu selalu atau tidur di atas lantai simen kerana, seperti mandi malam, ia juga dikatakan boleh menjejas paru-paru, mereputkan tulang dan menyebabkan sakit sendi atau reumatisme.
Ada pula kepercayaan dalam masyarakat kita yang melarang seseorang itu membiarkan dirinya terkena hujan - takut demam, selesema atau badan 'masuk angin'. Dan, jangan biarkan diri dibelenggu stres, nanti rambut cepat beruban.
Semua kepercayaan ini memanglah tidak berasas dari segi kesihatan, meskipun ia mempunyai kesan-kesan negatif yang lain.
Misalnya, kalau kita biarkan diri mandi hujan, tentulah badan terasa sejuk dan kurang selesa, tetapi tidak semestinya ia membawa demam.
Rambut beruban pula dipengaruhi oleh faktor usia dan jika ia beruban lebih awal daripada tempoh biasanya, lazimnya ia disebabkan oleh faktor baka pula.
Bagaimanapun, kepercayaan mengenai 'jangan mandi malam, jangan banyak minum air batu, dan jangan tidur atas lantai simen (atau seramik, batu marmar)' walaupun beralas tikar, itu memang perlu diperbetul, terutama kaitannya dengan penyakit paru-paru.
Sehubungan itu, Dr Radiah Salim dari Poliklinik Yishun telah memberikan penjelasannya.
Penyakit radang paru-paru atau pneumonia (salah satu penyakit yang menjejas paru-paru), kata Dr Radiah, kebanyakannya dikaitkan dengan sistem ketahanan tubuh atau imuniti yang lemah. 

Ada beberapa faktor risiko yang membawa kepada penyakit radang paru-paru dan mandi malam bukan di antaranya. Ia termasuklah:

Usia: Orang lanjut usia biasanya lebih berisiko kerana sistem ketahanan tubuh mereka lebih lemah.

Pesakit kencing manis: Pesakit kencing manis yang lebih mudah terkena penyakit paru-paru adalah mereka yang gagal mengawal penyakit atau paras gula dalam darah mereka dengan baik.

Perokok: Golongan perokok memang mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.

Kekurangan khasiat makanan: Kedua-dua golongan kanak-kanak kecil dan orang tua yang kekurangan zat makanan terdedah kepada pneumonia, juga kerana sistem ketahanan mereka yang lemah.

Cuaca terlalu sejuk: Ini yang buat orang sangka mandi malam membawa penyakit sebab pada malam hari air biasanya sejuk. Tetapi, ia tidak menjadi masalah kalau kita mandi dengan menggunakan air hangat.

Mandi siang atau malam sebenarnya baik untuk kita kerana ia membersihkan tubuh kita, apatah lagi dalam cuaca yang hangat.
Menurut Dr Radiah, jika badan tidak dibersihkan dengan mandi terutama dalam cuaca panas, maka akan lebih mudah kita terkena flu (influenza) dan flu adalah faktor risiko bagi radang paru-paru.
"Disebabkan itu, kita disarankan mendapatkan suntikan vaksin flu, terutama bagi golongan berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai sistem ketahanan tubuh yang lemah.

"Bagaimanapun, penyakit pneumonia lebih biasa dihidapi di negara-negara yang mempunyai musim sejuk.

"Justeru, di Australia, misalnya, ramai warga tuanya berhijrah ke wilayah Queensland yang lebih hangat cuacanya, berbanding di Melbourne yang mengalami musim sejuk yang lebih teruk," terang Dr Radiah.

Pesakit barah: Mereka yang menjalani rawatan kemoterapi serta pesakit HIV dan Aids.

Pesakit paru-paru: Ia seperti penyakit gangguan paru-paru kronik (chronic obstructive lung disease) yang biasa dihidapi perokok tegar yang telah merokok selama bertahun-tahun.

Moral of the story : Mandi siang atau malam sebenarnya baik untuk kita kerana ia membersihkan tubuh kita


No comments:

Post a Comment