Sunday, 9 October 2011

HARGA BARANG NAIK KESAN KENAIKAN GAJI KAKITANGAN AWAM 2012



Harga barang bakal dinaikkan berikutan kenaikan gaji gakitangan awam dalam bajet 2012. Orang ramai dan pengguna di negara ini perlu bersedia dengan kemungkinan berlaku peningkatan harga barangan harian secara mendadak dalam masa terdekat.

Ini berikutan pembentangan Bajet 2012 yang antaranya melibatkan kenaikan gaji, imbuhan serta bonus tambahan kepada kakitangan awam di seluruh negara, pada 7 Oktober lalu dijangka akan mendorong peniaga tamak mengambil kesempatan menaikan harga barangan.

Bagi menghadapi kemungkinan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengambil langkah mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Harga bagi mengekang kenaikan harga oleh sebilangan peniaga yang tidak bertanggungjawab. Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, pihaknya baru-baru ini menerima satu sistem pesanan ringkas (sms) dari KPDNKK yang memaklumkan tentang rancangan kementerian itu.

“Saya ada menerima sms dari pihak KPDNKK baru-baru ini mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Harga itu dan PPIM komited bekerjasama dengan Jawatankuasa tersebut.
“PPIM juga sudah mewar-warkan kepada semua aktivis-aktivis kami di seluruh negara agar melipat gandakan pemantauan di tempat masing-masing dan melaporkan sekiranya ada peniaga yang berani menaikkan harga sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.my di sini hari ini.
Kenaikan harga barangan pengguna adalah satu isu normal setiap kali kerajaan mengumumkan pemberian bonus atau sebarang bentuk penyelarasan gaji serta elaun di kalangan kakitangan awam.
Di Pahang umpamanya hari ini dilaporkan, peniaga dikesan menaikkan harga daging ayam sehingga RM10 sekilogram.

Tambah Tunku Azwil, sms tersebut yang dihantar oleh Pengarah Bahagian Dasar dan Standard Kepenggunaan, Norashiken Ishak meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan pengguna untuk memberikan kerjasama dengan Jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu.
Tunku Azwil memaklumkan bahawa jawatankuasa yang akan dianggotai dari wakil kementerian terbabit, NGO-NGO dan persatuan-persatuan pengguna itu dijangka akan melakukan pemantauan harga di semua lokasi-lokasi strategik yang dikenal pasti sama ada di dalam atau di luar bandar.


sumber : ScaniaZ

Mandi Malam bawa mudarat?



Dalam masyarakat Melayu, terdapat banyak kepercayaan termasuk usah mandi malam, usah mandi hujan dan usah tidur di atas simen. Mari kita cuba mencari kebenaran.

Ramai daripada kita yang kerap pulang ke rumah pada waktu malam seperti burung hantu atau kelawar yang terang matanya sebaik saja tirai malam berlabuh.
Tidak kiralah sama ada kita pulang dari tempat kerja, dari membeli-belah, jumpa kawan atau saudara, pulang ke rumah pada waktu malam memang menjadi perkara biasa.
Mentelah pula, sekitaran di bandar raya memang terang-benderang. Justeru, pulang ke rumah sehingga lewat malam tetap tidak membimbangkan.
Dan apabila pulang ke rumah, takkanlah kita nak terus duduk dekat-dekat dengan anggota keluarga dan makan bersama, tonton televisyen atau lebih teruk lagi, terus melompat ke katil dan tidur sebelum mandi?
Tentulah badan berbau busuk, hangat, melekit dan kotor kerana sehari suntuk dihembusi habuk-habuk di sekitaran.
Tetapi, ada orang-orang tua kita yang berkata mandi malam tidak baik untuk kesihatan. "Nanti kau senang dapat sakit paru-paru. Tulang pun cepat reput," demikian antara 'amaran' mereka.
Inilah antara kepercayaan atau 'mitos' yang biasa kita dengar dalam masyarakat Melayu berhubung soal mandi malam. Terdapat beberapa lagi kepercayaan sedemikian.
Ia termasuk, jangan minum air batu selalu atau tidur di atas lantai simen kerana, seperti mandi malam, ia juga dikatakan boleh menjejas paru-paru, mereputkan tulang dan menyebabkan sakit sendi atau reumatisme.
Ada pula kepercayaan dalam masyarakat kita yang melarang seseorang itu membiarkan dirinya terkena hujan - takut demam, selesema atau badan 'masuk angin'. Dan, jangan biarkan diri dibelenggu stres, nanti rambut cepat beruban.
Semua kepercayaan ini memanglah tidak berasas dari segi kesihatan, meskipun ia mempunyai kesan-kesan negatif yang lain.
Misalnya, kalau kita biarkan diri mandi hujan, tentulah badan terasa sejuk dan kurang selesa, tetapi tidak semestinya ia membawa demam.
Rambut beruban pula dipengaruhi oleh faktor usia dan jika ia beruban lebih awal daripada tempoh biasanya, lazimnya ia disebabkan oleh faktor baka pula.
Bagaimanapun, kepercayaan mengenai 'jangan mandi malam, jangan banyak minum air batu, dan jangan tidur atas lantai simen (atau seramik, batu marmar)' walaupun beralas tikar, itu memang perlu diperbetul, terutama kaitannya dengan penyakit paru-paru.
Sehubungan itu, Dr Radiah Salim dari Poliklinik Yishun telah memberikan penjelasannya.
Penyakit radang paru-paru atau pneumonia (salah satu penyakit yang menjejas paru-paru), kata Dr Radiah, kebanyakannya dikaitkan dengan sistem ketahanan tubuh atau imuniti yang lemah. 

Ada beberapa faktor risiko yang membawa kepada penyakit radang paru-paru dan mandi malam bukan di antaranya. Ia termasuklah:

Usia: Orang lanjut usia biasanya lebih berisiko kerana sistem ketahanan tubuh mereka lebih lemah.

Pesakit kencing manis: Pesakit kencing manis yang lebih mudah terkena penyakit paru-paru adalah mereka yang gagal mengawal penyakit atau paras gula dalam darah mereka dengan baik.

Perokok: Golongan perokok memang mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.

Kekurangan khasiat makanan: Kedua-dua golongan kanak-kanak kecil dan orang tua yang kekurangan zat makanan terdedah kepada pneumonia, juga kerana sistem ketahanan mereka yang lemah.

Cuaca terlalu sejuk: Ini yang buat orang sangka mandi malam membawa penyakit sebab pada malam hari air biasanya sejuk. Tetapi, ia tidak menjadi masalah kalau kita mandi dengan menggunakan air hangat.

Mandi siang atau malam sebenarnya baik untuk kita kerana ia membersihkan tubuh kita, apatah lagi dalam cuaca yang hangat.
Menurut Dr Radiah, jika badan tidak dibersihkan dengan mandi terutama dalam cuaca panas, maka akan lebih mudah kita terkena flu (influenza) dan flu adalah faktor risiko bagi radang paru-paru.
"Disebabkan itu, kita disarankan mendapatkan suntikan vaksin flu, terutama bagi golongan berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai sistem ketahanan tubuh yang lemah.

"Bagaimanapun, penyakit pneumonia lebih biasa dihidapi di negara-negara yang mempunyai musim sejuk.

"Justeru, di Australia, misalnya, ramai warga tuanya berhijrah ke wilayah Queensland yang lebih hangat cuacanya, berbanding di Melbourne yang mengalami musim sejuk yang lebih teruk," terang Dr Radiah.

Pesakit barah: Mereka yang menjalani rawatan kemoterapi serta pesakit HIV dan Aids.

Pesakit paru-paru: Ia seperti penyakit gangguan paru-paru kronik (chronic obstructive lung disease) yang biasa dihidapi perokok tegar yang telah merokok selama bertahun-tahun.

Moral of the story : Mandi siang atau malam sebenarnya baik untuk kita kerana ia membersihkan tubuh kita


Angkat besi untuk hilangkan lemak

'RAHSIA' mengurangkan lemak bukan dengan berlari berjam-jam lamanya di treadmill semata-mata.
Sebaliknya dengan melakukan latihan angkat besi atau weight training, impian anda untuk menghapuskan lemak degil juga boleh kesampaian.
Latihan ini merangkumi aktiviti kecergasan yang melibatkan kekuatan otot kaki, tangan, paha luar, paha dalam dan bahu.
Buat permulaan, anda boleh membeli dumbel seberat dua kilogram dan lakukan latihan beban di rumah.
Ramai yang masih beranggapan bahawa latihan kardio adalah di antara aktiviti kecergasan paling utama dalam membantu anda mendapatkan tubuh yang langsing.
Tahukah anda bahawa latihan angkat besi lebih berkesan dalam mencapai matlamat melangsingkan tubuh anda?
Bonusnya pula ialah tubuh anda akan kembali cergas tanpa perlu menghadapi risiko kekejangan otot.
Apabila anda mengangkat besi, otot tubuh anda akan mulai bekerja dengan lebih sempurna.
Lemak yang terkumpul akan ditukarkan dalam bentuk tenaga dan membantu pembinaan otot tubuh anda agar menjadi lebih mantap.
BERAPA BANYAK BESI YANG PERLU DIANGKAT?

Latihan angkat besi termasuk mengangkat dumbel, weight lifting dan sebagainya.
Anda disarankan mula mengangkat besi dengan berat paling minimum.
Pertingkatkan berat besi mengikut kemampuan dari masa ke masa.
Walaupun besi anda pada kadar berat yang paling minimum, anda harus mengulangi latihan sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kali.
Apabila anda mula menambah berat besi, cuba bahagikan rutin latihan kepada lima hingga enam bahagian.
Setiap satu rutin melibatkan gerakan berbeza dan merangkumi otot lengan, kaki, paha dan bahu.
Lakukan sebanyak tiga set bagi setiap satu aktiviti dengan ulangan sebanyak 10 hingga 12 kali gerakan.
LAKUKAN BERSAMA LATIHAN KARDIO

Latihan kekuatan ini juga boleh dilakukan bersama latihan kardio untuk memastikan jantung anda kekal sihat dan cergas.
Jika anda melakukan latihan kecergasan selama tiga jam pada hujung minggu, peruntukkan 45 minit untuk latihan angkat besi.
Jika anda bersenam selama sejam, pastikan 45 minit untuk latihan kardio dan 15 minit untuk latihan angkat besi.
Berehat selama dua minit selepas selesai satu set senaman.
Lakukan latihan angkat berat berselang sehari kerana otot memerlukan sekurang-kurangnya sehari untuk berehat dan membentuk.
LIMA ALASAN TERBAIK UNTUK ANGKAT BESI



  • Individu dewasa yang tidak melakukan sebarang latihan angkat besi menghadapi risiko kehilangan otot tubuh sebanyak dua hingga empat kilogram dan mengalami penurunan metabolisme menjelang usia 25 tahun.
  • Latihan membantu mempertingkat kadar pencernaan glukosa dan membantu mengurangkan risiko diserang kencing manis. Peratusan gula dalam darah dapat dikurangkan sekitar 23 peratus selepas empat bulan latihan ini dilakukan.
  • Kadar ketahanan otot dan tulang anda juga dapat diperbaiki selepas empat bulan latihan.
  • Membantu mempertingkatkan kadar metabolisme tubuh di samping membantu melancarkan proses penghadaman.
  • Membantu mengurangkan rasa kejang dan sakit otot. Anda juga dapat melihat postur tubuh anda menjadi lebih baik selepas tiga bulan.




Oleh Wan Shamsury Wan Hassan
 

Nota: Penulis pakar kesihatan dan kecergasan di NTUC Healthcare.